"LIFE STORY"

 

    Nama saya Nurfahmida Binti Mazlan, nama yang cukup indah diberikan oleh pakcik saya yang membawa erti “Cahaya Bijak Pandai”. Saya dilahirkan pada tanggal 30 Julai 2001 iaitu pada jam 10:20 malam di Hospital Besar Tawau. Saya merupakan anak yang keempat daripada lima orang adik beradik. Ayah saya bernama Mazlan dan ibu saya bernama Sahana. Namun, ayah saya telah meninggal dunia sewaktu berusia 47 tahun iaitu pada tahun 2013 dimana waktu itu saya baru berusia 12 tahun.


             Dari segi fizikal, saya lebih banyak mewarisi genetik ayah saya seperti mempunyai mata yang kecil dan telinga yang sedikit capang. Saya mula berjalan dan bercakap dengan lancar seawal usia setahun lagi dan semasa kecil saya seorang yang pelat kerana susah untuk menyebut huruf “R” sehingga sering dikutuk oleh rakan-rakan saya yang lain. Namun ianya tidak begitu lama kerana saya sudah mampu menyebut huruf “R” pada usia 10 tahun

            Kehidupan awal kanak-kanak saya adalah di kelas pertengahan. Saya dibesarkan dengan kasih sayang dan didikan agama yang cukup sempurna. Ayah saya bekerja di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan merupakan seorang “imam” di kampung saya. Bukan itu sahaja, ayah saya juga menjalankan kerja sampingan seperti berkebun untuk mencari nafkah tambahan untuk kami sekeluarga manakala ibu saya hanya merupakan suri rumah sepenuh masa. Sejak dari kecil lagi, ayah sayalah yang merupakan sumber utama kewangan bagi kami sekeluarga.

            Di Tawau, terdapat satu pulau dipanggil sebagai Pulau Sebatik yang merupakan sebuah pulau kecil yang bersempadan dengan Negara Indonesia. Pulau ini merupakan kampung halaman saya dimana disinilah perubahan perkembangan diri saya dilihat dari bayi hinggalah berada di sekolah rendah. Semasa kelahiran saya pada tahun 2001 sehinggalah 2006, kemajuan di kampung saya masih lagi dalam kemunduran, bekalan asas seperti elektrik dan air juga masih belum disediakan. Namun, masalah-masalah ini bukanlah satu penghalang bagi saya sebaliknya menjadikan satu kenangan dan pengalaman manis yang tesimpan dalam ingatan memori jangka panjang saya. Ini menyebabkan zaman kanak-kanak saya seperti budak-budak kampung lain yang agak nakal dan sering mencuba sesuatu yang baru dan berbahaya sehingga saya sering cedera akibat jatuh dari pokok.

            Walaupun perkembangan minda saya tentang pengetahuan kemajuan dunia adalah sangat sempit disebabkan tinggal di kampung yang kurang akan kemudahan pembangunan namun ianya bukanlah penghalang bagi saya untuk tidak belajar. Disebabkan bekalan elektrik tiada, lilin lah yang menerangi rumah kami sekeluarga dikala malam. Bertemankan lilin sewaktu menyiapkan kerja sekolah merupakan perkara yang tidak dapat saya lupakan. Justeru itu, saya akan pastikan kerja sekolah saya siap sebelum matahari terbenam. Punca bekalan utama air di kampung saya adalah berharapkan dengan air hujan semata-mata, sekiranya hujan tidak turun untuk beberapa minggu, saya dan keluarga saya terpaksa mandi dan mencuci baju di perigi. Selain itu, setiap hujung minggu pagi saya dan keluarga saya akan bangun awal pagi dan bersama-sama pergi berkebun untuk mencari duit hasil daripada torehan getah dan berkebun koko. Keseluruhannya, kehidupan yang sederhana inilah banyak membantu saya dari segi kekuatan mental dan fizikal sewaktu kecil lagi dan inilah antara faktor dimana saya belajar mendisiplinkan diri dari segi masa dan perwatakan.

            Pendidikan awal kanak-kanak saya adalah bermula di Tabika Kemas. Di kampung saya, Tabika merupakan satu-satunya institusi pendidikan awal untuk kanak-kanak sebelum memasuki sekolah rendah. Saya mula bersekolah di tabika seawal usia saya lima tahun sehingga enam tahun. Di sinilah perkembangan minda saya berkembang kerana tempat inilah dimana saya mula belajar menulis, mengira dan membaca. Tabika juga merupakan tahap permulaan bagi saya untuk bersosial dengan cara berkomunikasi dengan kanak-kanak lain dan mula mencari kawan untuk bermain bersama. Pada tahap ini, saya sangat aktif mengeksplorasi perkara yang ada disekeliling saya, sentiasa ingin bertanya sesuatu yang baru dilihat dan suka bermain. Secara keseluruhannya, saya banyak mengikuti aktiviti-aktiviti yang melibatkan kerjasama pasukan semasa berada di Tabika Kemas.

            Seterusnya, saya juga turut mengikuti kelas mengaji sewaktu berusia 5 tahun lagi di Kelas Agama & Fardu Ain (KAFA). Kelas KAFA merupakan tempat belajar kedua bagi murid-murid di kampung saya. Belajar di kelas ini adalah merupakan tradisi di kampung saya supaya dapat melahirkan anak-anak kampung yang tidak buta mengaji. Hampir semua kanak-kanak di kampung saya memohon untuk mengikuti kelas mengaji yang dikendalikan oleh seorang ustazah dan ustaz setiap tahun. Di kelas ini, saya banyak mempelajari ilmu agama seperti sirah, tajwid, tauhid dan sebagainya. Saya juga banyak mengikuti aktiviti yang melibatkan keagamaan seperti nasyid, hafazan dan tilawah Al-Quran.

Membesar dengan keluarga yang minat akan sukan menyebabkan saya banyak terdedah dengan pelbagai aktiviti sukan terutamanya olahraga. Saya telah menjadi salah satu murid yang aktif dalan bidang kokurikulum sehingga menjadi wakil sekolah dalam sukan olahraga. Saya mula bergiat aktif dalam sukan olahraga sejak berumur 10 tahun lagi. Kekuatan otot dan fizikal saya dibina melalui aktiviti latihan olahraga yang saya lakukan setiap minggu terutamanya apabila hari pertandingan semakin tiba. Disebabkan minat dan usaha yang gigih, saya banyak memperolehi pingat emas dalam acara yang saya sertai sehingga memperolehi gelaran olahragawati sebanyak 3 kali di sekolah rendah. Saya juga berjaya menempah nama mendapat tempat ketiga dalam sukan olahraga untuk kategori lompat jauh mewakili Zon Sebatik dalam sukan Daerah Tawau. Walaupun tidak bergelar juara namun kejayaan ini merupakan satu kejayaan yang jarang diperolehi oleh murid dari sekolah pedalaman dan ini adalah pencapaian tinggi yang saya perolehi dalam dunia sukan olahraga sewaktu berada di sekolah rendah.

            Kecemerlangan saya bukanlah hanya di dalam bidang kokurikulum semata-mata namun saya juga turut cemerlang dalam bidang akademik di sekolah rendah. Semasa berada di sekolah rendah, saya dapat mengasah lagi pemikiran saya dalam pelbagai aspek yang diajar terutamanya dalam subjek Sains dan Matematik. Saya juga meningkatkan lagi kemahiran bahasa dan pertuturan dalam bahasa lain terutamanya Bahasa Inggeris di sekolah rendah. Pengetahuan yang dipelajari di sekolah rendah ini memberikan banyak manfaat dalam diri saya dimana sel-sel otak saya berhubung mengenai perkara-perkara yang selama ini selalu menjadi tanda tanya dan merupakan sesuatu yang belum pernah saya ketahui.

         
Tambahan pula, menjadi salah satu daripada ahli Persatuan Pengawas Sekolah telah mendorong saya untuk terus berusaha dalam apa sahaja yang saya lakukan agar dapat menjadi contoh kepada rakan-rakan saya yang lain samada dalam bidang sukan mahupun akademik. Semasa di sekolah rendah, proses perkembangan diri saya terutamanya dari segi kepimpinan ditonjolkan sewaktu berada di tahun satu lagi. Kepercayaan yang diberikan ini menyebabkan saya menjadi salah satu pengawas sekolah sehinggalah berada di tahun enam. Berdasarkan kejayaan-kejayaan yang saya perolehi ini, saya telah dianugerahkan sebagai tokoh murid dalam bidang kokurikulum dan inilah faktor dimana guru-guru di sekolah mengenali saya sebagai seorang murid yang berkebolehan.  Kejayaan yang sungguh cemerlang dan bermakna yang ditunjukkan semasa berada di sekolah rendah tidak terhenti begitu sahaja walaupun kehidupan saya telah berubah selepas ayah saya telah meninggalkan kami sekeluarga sejerus saya menamatkan pembelajaran di sekolah rendah.

   Lembaran baru dibuka semasa saya menjejakkan kaki di alam persekolahan yang lebih tinggi iaitu sekolah menengah. Saya bersekolah di SMK Wallacebay Tawau selama 2 bulan dan berpindah ke sekolah bandar iaitu SMK Jalan Apas Tawau disebabkan masalah pengangkutan di sekolah pedalaman seperti kampung saya. Oleh itu, saya dan kakak saya dihantar ke bandar oleh ibu saya untuk tinggal bersama-sama pakcik dan makcik saya dan sekaligus bersekolah disana. Tinggal berjauhan dengan ibu saya merupakan perkara yang sangat berat kerana ini merupakan pengalaman pertama bagi diri saya. Perasaan pada masa itu bercampur-baur samada ini merupakan tindakan terbaik untuk masa depan pelajaran saya dan kakak saya atau pun sebaliknya, namun dari sinilah juga saya mula untuk belajar hidup berdikari menguruskan diri sendiri tanpa bantuan ibu saya lagi.

            Melihat kehidupan keluarga saya, saya tekad untuk berusaha mengubah nasib kami sekeluarga agar dapat hidup dengan lebih baik. Dengan keazaman ini, saya berupaya memperolehi gelaran olahragawati bawah 15 tahun dan seterusnya mencipta sejarah sekali lagi kerana sebelum ini tidak pernah lagi murid tingkatan satu mampu bersaing dan menang dalam sukan olahraga sekolah menentang murid-murid tingkatan dua dan tiga yang lain. Kejayaan yang mengejutkan ini menyebabkan saya terpilih menjadi atlet sekolah dalam sukan olahraga. Namun, selepas setahun minat dalam sukan olahraga mula pudar dalam hati saya. Saya nekad berhenti menjadi atlet sukan olahraga semasa di tingkatan dua untuk memberikan sepenuh tumpuan terhadap akademik saya. Pilihan yang berani ini membuahkan hasil walaupun pada mulanya saya agak was-was dengan pendirian yang saya pilih ini tetapi berkat sokongan dan doa dari ibu saya memyebabkan saya berjaya memperolehi kedudukan “Top 5” kesuluruhan tingkatan dalam setiap peperiksaan yang dijalankan di sekolah. Namun, meninggalkan dunia sukan selama hampir setahun menyebabkan saya berasa bosan dan akhirnya tekad untuk menyertai sukan semula tetapi dalam bidang yang berbeza. Oleh itu, saya memasuki ujian pencarian atlet bola jaring sekolah dan akhirnya berjaya melepasi ujian latihan tersebut. Maka, pada hari itu mulalah kehidupan baru untuk saya membahagikan masa dalam akademik dan juga sukan bola jaring.

            Di sekolah menengah, saya juga telah dilantik menjadi salah satu pengawas sekolah semasa di tingkatan dua sehinggalah saya berada di tingkatan lima. Bukan itu sahaja, saya juga pernah menyandang tugas sebagai pengerusi bola jaring dan timbalan pengerusi untuk kelab matematik sekolah. Justeru itu, jelaslah bahawa pencapaian yang saya perolehi semasa berada di sekolah menengah menunjukkan perkembangan diri saya dalam pelbagai aspek, kematangan fikiran, kemahiran dan idea yang saya tonjolkan, semuanya disebabkan oleh ilmu pengetahuan yang saya perolehi di sekolah.

    Selepas menamatkan pembelajaran di peringkat menengah dengan keputusan SPM yang memberangsangkan, saya berjaya melanjutkan pembelajaran dalam aliran sains di Kolej Matrikulasi Labuan selama setahun. Pengalaman di matrikulasi adalah suatu pengalaman seperti di dunia universiti yang cukup memberi makna dalam kehidupan saya. Walaupun zaman di matrikulasi terlalu singkat bagi saya namun ianya banyak memberikan memori dan kenangan indah yang tersemat dalam ingatan saya. Di matrikulasi, saya belajar banyak perkara baru dan ini telah membantu saya bersikap lebih matang dalam menghadapi apa-apa cabaran. Memandangkan matrikulasi merupakan “pintu belakang” untuk ke alam universiti yang sebenar, saya tidak begitu aktif sewaktu di matrikulasi kerana lebih menumpukan kepada pelajaran saya, saya banyak berjaga malam untuk belajar dan berbincang dengan pensyarah atau rakan-rakan lain berkaitan dengan topik yang tidak saya fahami. Walaupun saya tidak lagi aktif dalam bidang sukan namun saya tetap aktif dalam aktiviti lain seperti pertandingan sukaneka antara kolej dan aktiviti kesukarelawan.

    Walaupun peperiksaan semester kedua di Matrikulasi terpaksa dibatalkan disebabkan oleh Covid-19 ini tetapi banyak perkara baru yang saya pelajari di sini. Antara perkara yang cukup manis semasa di matrikulasi ialah bilamana saya memperolehi ramai rakan-rakan baru dari seluruh daerah di Sabah dan Sarawak, mempelajari budaya mereka serta yang lebih membanggakan ialah saya berjaya terpilih menjadi salah satu mentor dalam subjek Kimia pada semester pertama. Saya juga belajar meningkatkan lagi kemahiran berkomunikasi dengan orang ramai dan sekaligus menambahkan keyakinan diri dengan menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak matrikulasi. Bagi saya, memperolehi keputusan yang cemerlang di matrikulasi merupakan suatu perkara yang amat penting agar dapat memasuki bidang yang saya inginkan di universiti kelak dan seterusnya menentukan kerjaya saya pada masa hadapan.

           
                                                             

            Oleh itu, saya akan akhiri cerita tentang “Life Story” ini dengan perkara yang paling penting dalam hidup saya iaitu impian saya. Menjadi seorang guru merupakan cita-cita utama saya, minat saya dalam dunia pendidikan sudah melekat di hati saya sejak di bangku sekolah rendah lagi. Namun, menjadi seorang guru dalam dunia pendidikan khas tidak pernah sekalipun terlintas dalam fikiran saya kerana saya seorang yang minat dengan pengiraan dan Matematik merupakan subjek kegemaran saya. Saya sering memperolehi A dan A+ dalam subjek Matematik sehinggalah di peringkat Matrikulasi. Hal ini menyebabkan saya bercita-cita ingin menjadi seorang guru Matematik pada masa hadapan. Dunia Pendidikan khas adalah suatu perkara yang asing dalam diri saya tetapi hari demi hari saya belajar banyak perkara berkaitan hal ini dalam subjek Biologi berkenaan dengan kanak-kanak yang kekurangan kromosom, mutasi dan sebagainya. Ini menyebabkan timbul perasaan minat dan ingin tahu untuk mempelajari tentang ciri-ciri kanak-kanak khas tersebut. Sejak dari situ, saya banyak mempelajari tentang kanak-kanak dalam pendidikan khas ini melalui pembacaan saya di Internet dan buku-buku ilmiah sehingga timbul perasaan tekad untuk mengubah impian saya yang sebelum ini ingin menjadi seorang guru Matematik kepada guru Pendidikan khas.

            Perjalanan yang sungguh mencabar dalam hidup saya sejak dari kecil telah banyak membantu saya menjadi seorang individu yang berkebolehan dan kuat sehingga hari ini. Akhirnya, berkat doa dan usaha, saya telah berjaya memasuki Top 3 universiti di Malaysia iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang yang saya inginkan iaitu Pendidikan Khas. Saya berharap saya dapat mengulangi kejayaan saya sebelum ini di alam universiti dan berusaha untuk belajar memperbaiki diri menjadi seorang lebih baik.





Comments